Cegah Mungkar Mengikut Kemampuan

1- Sabda Nabi SAW di dalam sebuah hadith (riwayat Muslim) bermaksud: `Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya), sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya (teguran/nasihat) dan sekiranya tidak mampu maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya (membenci kemungkaran dalam hati), itulah selemah-lemah iman’.

2- Setiap muslim/muslimah perlu menyakini tentang kewajipan mencegah mungkar. Mungkar adalah setiap perkara yang berlawanan dengan perintah Allah SWT sama ada meninggalkan kewajipan atau melakukan larangan. Sekiranya semua muslim meninggalkan kewajipan ini, pastilah kemungkaran akan lebih banyak dan orang yang melakukannya akan lebih ramai.

3- Kata Ibn Mas’ud: `musnahlah orang yang hatinya tidak mengenali perkara ma’ruf dan perkara mungkar’. Berhati-hatilah dalam hidup agar kita dapat menilai mana baik dan mana yang buruk. Ilmu merupakan alat untuk kita menilai.

4- Setelah yakin bahawa mungkar itu wajib dicegah, maka perlulah pula kita menilai diri kita setiap kali bertemu dengan kemungkaran (sama ada amalan atau pemikiran), adakah kita termasuk di kalangan orang yang berkuasa mencegah atau sekadar menegur atau sekadar membenci di dalam hati. Persoalan yang paling penting adakah kita mampu atau tidak.

5- Ukuran kemampuan ini adalah berkaitan dengan kedudukan kita pada mata mereka yang melakukan kemungkaran. Ini adalah pendapat saya, wallahu a’lam. Sudah pasti ayah dan ibu berkuasa di mata anak-anaknya (sepatutnya begitu). Begitu juga orang-orang yang berpangkat tinggi pasti berkuasa untuk mencegah kemungkaran di kalangan orang-orang yang berada di bawahnya, lebih-lebih lagi orang yang berkerja dengannya. Ini berlainan dengan situasi di mana orang yang melakukan kemungkaran itu melihat diri kita sama sahaja dengannya dan dia merasakan tidak ada apa-apa kelebihan pada diri kita mengatasi kelebihan yang ada padanya. Maka keadaan begini perlulah kita menggunakan dua lagi kaedah mencegah kemungkaran iaitu sama ada menasihatinya atau sekadar membencinya di dalam hati. Ditambah pula dengan doa kita agar dirinya berubah.

6- Ukuran seterusnya adakah kita sanggup menghadapi cabaran dan ujian yang akan menimpa diri kita disebabkan kita mencegah kemungkaran dengan kuasa atau dengan teguran. Sekiranya kita tidak mampu menghadapi ujian, tidak salah untuk kita hanya sekadar mencegah kemungkaran dengan hati iaitu membenci perbuatan mungkar tersebut. Begitulah pendapat Ibn Rajab al Hanbali dalam Jami’ al `Ulum wa al Hikam.

7- Apa pun, lihatlah pada realiti hidup kita masa kini. Janganlah kita terlalu bersemangat untuk mencegah kemungkaran sehingga menyebabkan kita tersalah memilih jalan atau teknik untuk mencegahnya. Kalau keadaan mengizinkan kita menegur, tegurlah. Kita tidak akan dibebankan dengan perkara yang kita tidak mampu lakukan.

8- Contohnya ada orang yang menganggap bahawa semua orang yang melakukan kemungkaran itu mesti ditegur. Anggapan ini tidaklah tepat untuk semua keadaan. Mencegah kemungkaran dengan teguran juga mestilah dimulai dengan cara yang baik dan beradab. Dengan kata lain, kita mestilah tegas, tapi tidak kasar dalam percakapan. Mungkin sesuatu kemungkaran itu perlukan kajian dan perancangan dalam usaha kita untuk mencegahnya secara berperingkat.

9- Satu lagi hakikat yang terpaksa kita akui ialah, tidak semua orang yang ditegur dan dinasihati itu akan mengikut nasihat yang diberikan. Biasanya begitulah. Kalau kita terlalu berharap orang yang kita tegur dan nasihat itu akan berubah, mungkin nanti kita akan kecewa dan menganggap itu sebagai satu keburukan atau satu musibah bagi kita. Kita mesti sentiasa berharap tetapi jika tidak menjadi kenyataan, bersabarlah. Itulah lumrah manusia, susah untuk mengikut kebenaran.

10- untuk permulaan, cegahlah kemungkaran dalam diri kita dan keluarga terlebih dahulu. Fikirlah cara yang paling kreatif untuk mencegah kemungkaran yang masih ada dalam diri dan keluarga. Kenal pasti setiap perkara yang melanggar perintah Allah SWT yang dilakukan oleh diri kita atau ahli keluarga kita dan cegahlah ia sebelum terlambat. Kalaulah kita telah berusaha sedaya upaya tetapi sebahagian ahli keluarga kita masih tidak mentaati Allah, maka bersabarlah di atas ujian itu sebagaimana Nabi Nuh, Nabi Luth dan Nabi Muhammad SAW sendiri bersabar apabila saudara mereka dan keluarga mereka sendiri tidak mahu menerima dakwah yang dibawa. Wallahu a’lam.

11- Begitu juga kita mesti berhati-hati agar kita tidak pula menjadi pembantu atau penolong terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh sesiapa. Firman Allah SWT bermaksud: `dan janganlah bantu-membantu dalam perkara dosa dan kezaliman’.

12- Ini pendapat saya berdasarkan apa yang saya fahami, wallahu a’lam. Asas perbincangan ini adalah diringkaskan daripada huraian Ibn Rajab al Hanbali dalam bukunya Jami’ al `Ulum wa al Hikam, hadith no 34, jilid 2 , muka surat 243-256, cetakan Muassasah al Risalah, Beirut.

oleh Ustaz Adlan Abdul Aziz @ alitantawi

0 comments: